Monday, October 25, 2010

DAHSYATNYA DOA IBU....

Pemuda Derhaka Meninggal Dunia dalam Husnul Khatimah..

Diwaktu petang, sekembalinya sy dari tempat kerja, Princess I memberikan sy sebuah buku untuk dibaca. Tajuk di atas.
Saya letih, x larat nak baca buku..selang 5 minit....dia bertanya lagi...dah baca ke belum.... hmmmm....jap lagi le....3 x dia bertanya...
Tergerak jg hati nak membacanya tp tangguhkan dulu......nak mandi dulu...
Bahagian yg perlu sy baca telah ditandakan di muka surat [56]
Amin dan Adi adalah adik-beradik kandung. Mereka lahir dalam keluarga yang taat beragama namun tingkah laku mereka berbeza. Amin adalah abang sementara Adi pula adik. Sejak kecil Amin dikenali sebagai orang yang baik dan tidak suka berfoya-foya. Dia tidak pernah menyentuh minuman keras, malah dia banyak menghabiskan waktu di masjid. Dia tidak suka bergaul dengan wanita yang bukan muhrimnya. Seorang gadis yang juga sepupunya pernah cuba menggodanya tetapi Amin langsung tidak menghiraukannya. Dengan kebaikan dan akhlaknya yang mulia, keluarga dan masyarakat menyayanginya.
Sebaliknya, Adi adalah seorang yang nakal sejak kecil. Sejak usia remaja, dia mula berjinak-jinak dengan tempat maksiat. Hampir setiap hari dia mabuk dan melakukan pelbagai maksiat. Kadang-kadang dia mengikut kumpulan perompak dan merampas harta benda orang lain. Sewaktu dia merompak, ada kalanya dia juga memperkosa anak gadis. Kesimpulannya, dia melakukan hampir semua jenis maksiat yang memuaskan nafsunya. Oleh sebab itulah, keluarganya dan masyarakat membencinya.
Pada suatu hari, polis berjaya menangkap Adi sewaktu dia sedang merompak. Akibatnya, dia dipenjarakan selama beberapa tahun. Selepas tempoh tahanan itu tamat, Adi dibebaskan, namun tembok penjara tidak mampu menginsafkannya. Adi tetap jahat dan terus melakukan maksiat, malah lebih buruk lagi berbanding sebelum dia dipenjara.
Ibunya yang kini lanjut usianya hanya mewarisi kedai peninggalan arwah bapanya. Selama ini ibunya yang menjaga kedai itu dan berusaha membesarkan kedua-dua anaknya. Melihat tingkah laku anaknya yang tetap tidak mahu berubah, ibunya berasa sedih yang tidak dapat digambarkan. Adi bukan sahaja mencuri di rumah orang lain tetapi dia turut mencuri wang dan barang kemas ibunya sendiri. Ibunya tidak mampu melakukan apa-apa lagi selain memohon daripada Allah yang maha kuasa semoga anaknya mendapat hidayah dan kembali ke jalan yang lurus.
Pada suatu hari, Adi pulang ke rumah dan memohon bahagain harta pusaka peninggalan bapanya. Dia berkata kepada ibu dan abangnya, dia mahu menggunakan wang itu bagi memulakan perniagaan. Ibu dan abangnya merasa lega dan gembira kerana mereka fikir Adi insaf dan mahu mengubah cara hidupnya selama ini. Alangkah terkejut dan marahnya mereka apabila mengetahui perniagaan yang mahu dijalankan itu adalah rumah pelacuran.
Ibu dan abangnya tidak bersetuju dan enggan memberikan wang kepadanya.
Pada malam hari, secara senyap-senyap Adi masuk ke dalam bilik ibunya dan mencuri dokumen harta pusaka bapanya. Ibunya terjaga daripada tidur dan sempat melihat Adi mencuri dokumen itu. Dia cuba menghalang Adi tetapi Adi menendang ibunya dengan kasar. Dalam kesakitan, ibunya berdoa, "Ya Allah, berikanlah petunjukMu kepada anakku Adi, semoga dia kembali ke jalan yang engkau redai."
Selepas kejadian itu, Amin merenung nasib dirinya. Tiba-tiba, satu suara halus berkata-kata kepadanya, "Sejak kecil, engkau sentiasa melakukan kebaikan dan rajin beribadah. Engkau mendapat tempat di hati masyarakat tetapi engkau tidak pernah merasa sedikit pun nikmat dunia. Lihatlah adikmu, dia puas menikmati hidupnya. Dia gembira dengan ramai wanita di sekelilingnya. Engkau sama sekali tidak pernah merasakan kegembiraan itu. Mengapa engkau tidak mahu mengunjungi rumah pelacuran yang adikmu usahakan itu? Datang sekali sahaja, kemudian bertaubatlah. Engkau boleh membaca istighfar beribu-ribu kali dalam solat tahajudmu dan memohon keampunan daripada Allah. Bukankah Allah itu maha pengampun?"
Pada waktu yang sama di rumah pelacuran, Adi juga termenung dan memikirkan untung nasibnya. Dia mulai bosan dengan kehidupan yang dijalaninya selama ini. Hati nuraninya berkata, "Bertahun-tahun aku hidup bergelumang dosa. Aku melakukan segala jenis maksiat. Sampai bila aku hendak hidup begini? Keluargaku membenciku, masyarakat juga membenciku. Mengapa aku tidak cuba menjadi baik seperti abangku? Sekiranya aku terus hidup begini, aku pasti masuk neraka kelak sementara abangku masuk syurga. Tidak, aku tidak boleh terus hidup dalam maksiat!"
Dia terbayang apa yang kelak terjadi pada dirinya apabila dia mati. Dengan itu, dia bertekad hendak mengubah kehidupannya. Hatinya berkata, "Aku mesti mengubah hidupku ini. Selepas maghrib nanti, aku hendak pergi ke masjid di mana abangku selalu solat. Aku mahu solat bersama-samanya dan aku mahu bertaubat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku selama ini!".
Pada malam itu, kedua-dua adik-beradik itu melaksanakan niat masing-masing. Sesudah mengerjakan solat maghrib di masjid, Amin pulang ke rumah bagi mengganti baju dan kemudian dia menuju ke rumah pelacuran adiknya. Sementara itu, Adi sudah meninggalkan rumah itu dan berjalan menuju ke masjid. Oleh sebab mereka mengikut jalan yang berlainan, mereka tidak bertemu di tengah jalan.
Apabila Amin sampai di rumah pelacuran itu, dia mencari-cari adiknya tetapi tidak berjumpa. Para pekerja berkata mereka tidak tahu ke mana dia pergi. Walaupun adiknya tidak ada di rumah itu, dia tetap meneruskan niatnya. Apalagi, Mira menyambutnya dengan mesra. Nafsu syaitan mula menguasai diri Amin dan dia hanyut dalam pujuk rayu Mira.
Pada waktu yang sama, Adi sampai di masjid. Dia bertekad hendak bertaubat, lalu dia terus mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid. Adi mencari-cari abangnya tetapi ternyata Amin tiada di situ. Orang yang berada di masjid itu juga tidak tahu di mana abangnya. Adi meneruskan niatnya dan mengerjakan solat. Sesudah solat, dia beristighfar sebanyak-banyaknya sambil air matanya bercucuran dengan penuh penyesalan. Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.
Di sekelilingnya, orang menjerit, "Gempa bumi! Gempa bumi!"
Semua orang panik dan lari bertempiraran keluar dari masjid dan rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri. Semuanya takut rumah mereka runtuh. Adi yang larut dalam wirid dan doanya tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya, malah dia tidak dapat merakana gempa yang hebat itu. Pada malam itu, banyak bangunan runtuh termasuk masjid dan rumah pelacuran milik Adi.
Keesokan paginya, orang ramai sibuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan. Ada yang masih bernyawa dan ramai yang terkorban. Orang ramai turut menemukan mayat Amin dan Mira dalam keadaan yang memalukan. Adi turut terkorban dalam runtuhan masjid. Orang ramai menemukan mayatnya dengan kedua-dua belah tangannya memegang Quran di dadanya.
Orang ramai yang mengenali kedua-dua adik-beradik itu menitiskan air mata melihatkan keadaan Amin dan Adi tetapi mereka kehairanan mengapa mayat Amin berada di rumah pelacuran sementara mayat Adi pula berada di dalam masjid. Amin yang selama hidupnya adalah seorang ahli ibadah mati dalam keadaan tragik dan memalukan. Sebaliknya, Adi yang selama ini dikenali sebagai ahli maksiat, mati dalam husnul khatimah.
Ibu mereka menangis tanpa henti apabila mendapat berita kedua-dua anaknya terkorban dalam gempa bumi itu. Kesedihannya bertambah dalam apabila melihat mayat Amin yang terkorban dalam pelukan seorang pelacur. Barulah dia sedar, selama ini dia tidak pernah mendoakan Amin kerana menganggapnya anak yang soleh. Dia terlupa memohon daripada Allah supaya Amin tetap taat dan istiqamah.
Peristiwa itu memberi pengajaran yang berharga kepada kita. Kematian itu dapat datang menjemput kita pada bila-bila masa. Hanya Allah yang mengetahuinya. Dengan itu, janganlah sekali-kali kita menuruti hawa nafsu. Siapa tahu, sewaktu kita sedang melakukan kejahatan, pada waktu itulah maut datang menjemput kita. Nauzubillah, semogah Allah sentiasa menjaga kita dan memberikan kematian yang baik kepada kita.
Wahai ibu-ibu, doakanlah semua anak-anakmu semoga mereka memperoleh kebaikan di akhirat dengan husnul khatimah. Walaupun seburuk mana kelakuan anakmu ataupun sebaik mana mereka, janganlah lupa mendoakan mereka.
" Ya Allah, kurniakanlah kepada kami, kepada anak dan cucu kami, keteguhan iman dan istiqamah berada pada jalanMu. Kurniakanlah kepada kami, kepada anak dan cucu kami, husnul khatimah. Amin. ".
Wahai anak2ku...selagi mummy ini bernafas di muka bumi Allah ini....doa yang baik2 sentiasa menyertai hidup Prince2 & Princess2...janganlah risau, setiap doa2 mesti ada doa untuk kesejahteraan kalian dunia akhirat. Tidak ada yang kurang atau lebih kerana Prince2 & Princess2 adalah permata hati yang sangat bernilai dibanding dengan harta dunia. Semoga Prince2 & Princess2 akan menjadi anak2 yg soleh & solehah. Menjadi anak yg baik budi pekerti, berjaya dunia & akhirat...Aminnnn.
Love: yenyen :-)

No comments:

Post a Comment